Categories
AGENDA NASIONAL

Kitab lengkap Ihya’ ‘Ulumuddin karya Imam Al Ghazali diterjemah

SHAH ALAM, 26 NOV: Demi memastikan karya agung Islam terus diingati, Kerajaan Negeri bersetuju menterjemahkan penulisan tersebut ke bahasa Melayu.

Dato’ Menteri Besar berkata iltizam karya agung itu akan dimulakan dengan karya Ihya’ ‘Ulumuddin oleh Imam Al Ghazali.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari karya agung dalam tamadun Islam adalah sumur yang tidak pernah kering dalam memberi pedoman dan inspirasi kepada umat Islam sejagat.

“Salah satu karya terbesar yang menjadi rujukan sepanjang zaman oleh umat Islam di Malaysia adalah kitab Ihya’ ‘Ulumuddin oleh Imam Al-Ghazali rahimahullah.

“Terjemahan Karya Agung Islam ini akan dimulakan dengan karya Ihya’ ‘Ulumuddin dengan geran permulaan sebanyak RM1 juta dan dijangkakan akan berjalan selama tiga tahun,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Usaha itu dibuat selepas mengambil kira kitab yang banyak jilid tersebut belum pernah diterjemahkan dengan baik dan lengkap ke bahasa Melayu.