Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: 54 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan

SHAH ALAM, 7 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sejumlah 54 kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 setakat tengah malam tadi.

Data KKM di portal COVIDNOW itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak kepada 29,256 kes, daripada 2.49 juta kes positif Covid-19 yang dikesan di negara ini.

Sebanyak 12 daripada 54 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital (kes BID).

Kes kematian dilaporkan itu melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antaranya meninggal dunia beberapa minggu lalu berikutan proses bagi mengesahkan sama ada pesakit meninggal dunia akibat Covid-19 mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 65,505 kes aktif Covid-19 di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 51,103 individu atau 78 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 8,389 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Sebanyak 5,469 kes dirawat di hospital dan 544 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 264 pesakit tidak memerlukan bantuan pernafasan dan 280 lagi memerlukan mesin ventilator.