Categories
NASIONAL

Kontak rapat wanita pesakit taun disaring, tiada kes baharu

SHAH ALAM, 15 NOV: Keputusan ujian sampel najis warga tempatan yang dijangkiti taun atau kolera bulan lalu menunjukkan kehadiran bakteria jenis vibrio cholerae, seragroup 01 dan serotype ogawa, kata pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).
Susulan itu Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata semua kontak rapat wanita berusia 56 tahun itu termasuk pengendali makanan disaring selain pihaknya mengambil sampel persekitaran.

“Sehingga kini tiada kes baharu diterima. Siasatan dijalankan juga tidak dapat mengesan punca sebenar.

“Jangkitan ini merebak cepat dan boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat segera. JKNS sentiasa memantau keadaan semasa bagi membendung perebakan” katanya menerusi kenyataan.

Dr Sha’ari berkata jangkitan berkenaan dikesan pada 21 Oktober selepas pesakit mengalami gejala cirit-birit yang teruk dan dirawat sebagai pesakit luar di fasiliti kesihatan swasta.

Pagi tadi EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata pesakit yang tinggal di Petaling itu sudah kembali pulih.

Beliau mengingatkan masyarakat supaya mengamalkan kebersihan diri dan kerap mencuci tangan selain tidak mengambil makanan mentah atau tidak dimasak sempurna.

“Minum air yang dididihkan atau terawat. Jika ada simptom kolera terus dapatkan rawatan,” katanya.

Semalam Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi Twitter mengesahkan berlakunya jangkitan berkenaan.