Categories
AGENDA NASIONAL

Korban masa tidur sertai sidang antarabangsa tambah ilmu jaga anak autisme

SHAH ALAM, 3 NOV: Berjaga tengah malam bagi mengikuti persidangan autisme antarabangsa antara pengorbanan sepasang ibu bapa untuk menambah ilmu menguruskan kanak-kanak istimewa dalam membesarkan anak mereka.

Sejak K Rashwin disahkan autisme ketika berusia 20 bulan, S Kalithas, 40, dan B Krishnarani, 36, sentiasa berusaha meningkatkan pengetahuan yang membantu anak mereka mencipta rekod Malaysia dengan mengenal pasti bendera antarabangsa terbanyak bagi kategori kanak-kanak istimewa pada 4 Oktober lalu.

Kalithas berkata walaupun ada banyak bacaan mengenai penjagaan kanak-kanak autisme terutama di internet namun tidak semua sesuai dengan seseorang kanak-kanak kerana gejala yang berbeza.

Menurutnya, bagi menambah ilmu mereka menyertai persidangan secara maya dianjurkan pihak luar negara yang ada kalanya berlangsung tengah malam sehingga pagi berikutan perbezaan masa.

“Kami kumpul pengetahuan dari pelbagai sumber untuk membesarkan Rashwin, namun paling berkesan mendengar sendiri pengalaman ibu bapa yang saya peroleh dalam persidangan dan pergaulan.

“Bukan mudah menerima berita Rashwin disahkan autisme tetapi kami perlu bantu dia dengan segera, ia bukan kelemahan tetapi sebenarnya satu keunikan cuma penghidapnya meluahkannya dalam cara lain,” katanya.

Kalithas yang bekerja sebagai pengurus data berkata demikian dalam program bual bicara secara langsung di Facebook Media Selangor semalam.

Pada 4 Oktober lalu, Rashwin yang berusia empat tahun mencatatkan nama dalam Malaysia Books of Records (MBR) bagi kategori ‘Mengenal pasti bendera antarabangsa terbanyak oleh kanak-kanak autisme’ apabila berjaya mengenal pasti 198 bendera dalam masa 9 minit 54 saat.

Kalithas berkata mereka mula mengesan bakat anaknya itu seawal usianya dua setengah tahun yang berminat dengan kamus bergambar selain bentuk dan warna.

“Walaupun tidak banyak bercakap tetapi Rashwin boleh membaca kamus bergambar itu, kami asah bakatnya dan apabila dia bersedia barulah kami cuba bawanya mencipta rekod berkenaan.

“Kami perlu menunggu usianya empat tahun kerana fizikal tidak begitu mengizinkan selain sering mempunyai masalah bernafas, dia perlu sentiasa mengikuti terapi cara kerja,” katanya.