Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP jamin isu harga, bekalan ayam selesai dua minggu

LANGKAWI, 13 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan isu kenaikan harga dan kekurangan bekalan ayam di pasaran akan diselesaikan dalam tempoh dua minggu akan datang.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Rosol Wahid berkata kementeriannya bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah mengadakan mesyuarat minggu lepas, bagi mencari penyelesaian berhubung isu itu yang dikatakan berlaku di beberapa kawasan.

Menurutnya antara penyelesaian yang dibincangkan termasuk untuk mengimport bekalan ayam dari luar negara, bagi mengatasi kekurangan bekalan di pasaran tempatan selain menstabilkan harganya.

“Sekarang ini masalah bukan sahaja harga mahal, tapi saya difahamkan contohnya di negeri saya di Terengganu banyak kedai tiada bekalan ayam. Kita prihatin dengan masalah ini, jadi kementerian kita bersama MAFI akan mengatasi masalah ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia peringkat kebangsaan 2021 di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai isu kenaikan harga ayam yang dilaporkan berlaku terutama di bandar-bandar besar dan langkah kementerian mengatasi masalah itu.

Mengulas mengenai isu bekalan minyak masak peket bersubsidi pula, Rosol berkata pihaknya mengakui terdapat kekurangan bekalan di pasaran disebabkan oleh pihak pembekal tidak dapat mengeluarkan minyak, ekoran tidak mendapat bayaran daripada kerajaan.

Menurutnya, pihak pengeluar minyak masak atau pembekal yang mengeluarkan minyak masak bergantung kepada bayaran itu sebagai modal pusingan, untuk terus mengeluarkan minyak masak berpeket.

“Kita akan cari penyelesaian dengan pihak Kementerian Kewangan (MOF) untuk melunaskan bayaran kepada pengeluar minyak masak ini, berkaitan subsidi minyak masak ini MOF akan menyalurkan dana kepada kita dan kita pula salurkan kepada pembekal,” katanya.

Sementara itu, Rosol berkata KPDNHEP telah melanjutkan tempoh sehingga Rabu ini bagi pemilik sebuah restoran di sini yang menjual hidangan siakap berharga RM1,196, untuk memberikan penjelasan kepada kementerian mengenai harga makanan yang dijual di situ.

Menurut, pemilik restoran itu sebelum ini diberikan notis dan perlu menjelaskan harga makanan yang ditawarkan pada Khamis lalu, namun dikatakan tidak memberikan secara terperinci maklumat yang dikehendaki kepada penguatkuasa kementerian.

“Mereka sudah bagi kepada kita sebelum ini tetapi mereka bagi harga secara keseluruhan, oleh itu kita bagi tempoh sehingga Rabu ini untuk mereka berikan maklumat harga upah masak berapa, harga ikan berapa, secara detail,” katanya.

Pada 6 Nov lalu, tular di media sosial gambar resit harga makanan terutama hidangan ikan siakap seberat 7.48 kilogram berharga RM1,196, sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai.

– BERNAMA