Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP Selangor keluar 4 notis kepada peniaga naik harga ayam

SHAH ALAM, 22 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengeluarkan empat notis kepada pemborong dan peniaga pasar yang menaikkan harga ayam.

Pengarahnya Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata notis tersebut dikeluarkan setelah pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap 210 premis sejak 8 hingga 19 November lalu.

“Sepanjang pemeriksaan dijalankan, lapan aduan diterima iaitu enam daripadanya berkenaan kenaikan harga dan selebihnya pula ayam mahal.

“Harga ayam yang ditetapkan di pasaran ialah RM9.50 sekilogram tetapi peniaga menjualnya pada harga lebih daripadanya sehingga mencecah RM10. Oleh demikian, kita telah meminta peniaga dan pemborong itu melengkapkan butiran berhubung kenaikan harga,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Penyerahan Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) 2021 di dua premis di daerah ini iaitu Kedai Buku MRKB Seksyen 19 dan Pusat Pakaian Hari-Hari Ole-Ole Seksyen 18 hari ini.

Majlis tersebut dihadiri EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Berhubung bekalan minyak peket, Muhamad Zikril Azan berkata pengguna tidak perlu risau tentang bekalannya kerana ia mencukupi dan stabil.

“Kita telah berunding dengan 70 pembungkus semula minyak masak supaya segera menghantar bekalan ke premis-premis terpencil yang tidak menerimanya,” katanya.