Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP kini fokus pulihkan simpanan persaraan ahli

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini fokus untuk membantu kalangan ahlinya memulihkan semula dana simpanan demi masa depan persaraan mereka berikutan pelaksanaan beberapa kemudahan pengeluaran akibat pandemik Covid-19.

Dalam kenyataannya, dana persaraan itu juga menyifatkan kemudahan pengeluaran itu sebagai bersifat luar biasa dan diperkenalkan berikutan pandemik yang telah memberi impak besar terhadap ekonomi negara.

“Pengeluaran yang dimaksudkan adalah seperti i-Lestari, i-Sinar, dan i-Citra telah mengakibatkan sejumlah RM101 bilion telah dikeluarkan dan dan disalurkan kepada lebih 7.4 juta ahli atau menyamai lebih separuh daripada jumlah ahli KWSP.

“Walaupun pengeluaran itu memberi sedikit kelegaan kewangan ketika pandemik dan pelbagai peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jumlah simpanan yang dikeluarkan itu kini menyebabkan seramai 6.1 juta ahli mempunyai (simpanan) kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka.

“Daripada jumlah itu, seramai 3.6 juta ahli mempunyai kurang RM1,000 dan seterusnya menjadikan mereka lebih rentan serta tanpa perlindungan persaraan,” katanya.

KWSP berkata, kejatuhan jumlah simpanan ini ternyata lebih membimbangkan bagi ahli Bumiputera memandangkan seramai 78 peratus atau lebih tiga perempat orang telah memohon bagi kemudahan pengeluaran tersebut.

“Akibatnya, seramai 4.4 juta atau 54 peratus ahli Bumiputera kini mempunyai (simpanan) kurang daripada RM10,000 manakala dua juta atau 25 peratus dengan simpanan kurang daripada RM1,000.

“Tambahan lagi, pengagihan simpanan telah menjadi semakin tidak saksama. Kumpulan 40 peratus terbawah ahli KWSP iaitu lebih kurang lima juta ahli menyaksikan simpanan mereka jatuh sebanyak 38 peratus kepada hanya RM8 bilion, menjadikan baki simpanan media sebanyak RM1,005,” katanya.

Ia menyebut, kumpulan 40 peratus pertengahan juga mengalami kejatuhan simpanan sebanyak 18 peratus kepada RM155 bilion atau baki median sebanyak RM24,995.

“Hanya kumpulan 20 peratus teratas yang berusia di bawah 55 tahun menyaksikan kenaikan dalam simpanan, namun ini mencapai median berjumlah RM152,043 atau bersamaan dengan hanya RM633 sebulan untuk tempoh 20 tahun.

“Ketiga-tiga pengeluaran luar biasa ini telah menyebabkan 73 peratus atau hampir tiga perempat ahli berada dalam situasi serius yang mana jumlah dana simpanan mereka tidak mencukupi untuk bersara melebihi paras kemiskinan,” katanya.

KWSP turut menganggarkan ahli perlu bekerja tambahan antara 4-6 tahun untuk membina semula simpanan yang telah dikeluarkan sewaktu pandemik.

Ini turut mengakibatkan kejatuhan ketara peratusan ahli yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada 55 tahun) daripada 36 peratus pada 2020 kepada anggaran 27 peratus pada hujung tahun ini.

Menurutnya, sebarang pengeluaran luar biasa tambahan pada masa depan juga perlu dipertimbangkan secara teliti berikutan keperluan untuk melindungi masa depan ahli dan membina semula dana persaraan mereka.

Pada masa sama, ia juga berharap pelaksanaan langkah-langkah bagi menyokong pemulihan ekonomi dan merangsang pekerjaan akan dapat membantu memenuhi keperluan rakyat.

KWSP juga menyifatkan Bajet 2022 dengan peruntukan RM8.2 bilion untuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan RM4.8 bilion untuk Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) serta pelbagai langkah membantu rakyat, turut mencerminkan pendirian kerajaan dalam memperkukuh agenda perlindungan sosial untuk rakyat.

“Usaha ini juga dapat dilihat melalui kesinambungan insentif i-Saraan dan Kasih Suri Keluarga Malaysia yang dapat membantu menangani sebarang kepincangan sistem perlindungan sosial negara untuk masyarakat rentan.

“Ini bagi memastikan mereka diberi akses kepada mencapai taraf hidup minimum biarpun dalam persekitaran yang tidak dijangka,” katanya.

Menurutnya, agenda perlindungan sosial yang diterajui oleh Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kini sedang mengkaji pembaharuan asas kepada sistem perlindungan sosial negara.

“KWSP menyokong penuh langkah-langkah ini dan akan bekerjasama erat dengan kerajaan untuk memastikan masa depan yang terjamin dan terpelihara untuk ahli dan rakyat,” katanya.

– BERNAMA