Categories
AGENDA NASIONAL

Lapan kementerian dijadual gulung perbahasan Bajet 2022 hari ini

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Kementerian Kesihatan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia merupakan antara lapan kementerian yang dijadual menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Penggulungan perbahasan yang memasuki hari ketiga peringkat kementerian itu akan menyaksikan menteri atau timbalan menteri dari kementerian terbabit menjawab perkara-perkara yang dibangkitkan 131 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang semasa membahaskan rang undang-undang itu selama tujuh hari, bermula 1 Nov lepas.

Sebanyak 17 kementerian telah mengambil bahagian dalam sesi penggulungan perbahasan Bajet 2022 yang dijadual selama empat hari bermula Isnin.

Sebelum sesi penggulungan, persidangan Dewan Rakyat seperti biasa akan dimulakan dengan sesi pertanyaan bagi jawab lisan dan berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, tiga daripada 10 soalan terawal melibatkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Antara soalannya adalah berkaitan peruntukan yang disalurkan kepada tiga kampung Orang Asli di kawasan Parlimen Tebrau pada 2020 dan hingga September 2021 serta punca kementerian tidak menyediakan rumah pasang siap (prefab) untuk Orang Asli di Kampung Pasir Putih dan tidak menyambungkan paip air kepada Kampung Pasir Salam.

Turut ditanya adalah persoalan berkenaan rang undang-undang baharu untuk menyokong isu perkauman yang diajukan P. Prabakaran (PH-Batu) dengan meminta Menteri Perpaduan Negara menyatakan sama ada Akta Perpaduan Negara itu akan bersifat adil dan saksama untuk semua kaum di Malaysia.

-BERNAMA