Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 75,000 tan metrik sampah dikeluarkan dari Sungai Klang sejak 2016

SHAH ALAM, 24 NOV: Sejumlah 75,402 tan metrik sisa pepejal berjaya dikeluarkan dari Sungai Klang antara 2016 hingga September lalu melalui projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Daripada jumlah itu, sebanyak 50 peratus adalah sampah organik seperti keladi bunting, rumput dan dahan pokok manakala selebihnya bukan organik antaranya plastik, tin dan tekstil.

Pengarah urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) berkata inisiatif itu selaras komitmen negeri untuk mengurangkan pengeluaran sampah sebanyak 33 peratus menjelang hujung Disember ini.

“Pada hujung 2022, projek ini menyasar untuk mengurangkan pengeluaran sampah tahunan sebanyak 40 peratus berbanding jumlah kutipan tahun pertama ia beroperasi pada 2016,” kata Syaiful Azmen Nordin dalam kenyataan baru-baru ini.

Jelasnya, beberapa langkah tambahan diambil bagi mempergiat usaha pembersihan termasuk memasang dan menaik taraf perangkap serta penyaring sampah di 38 lokasi berpotensi di hilir sungai.

Beliau berkata usaha lain meliputi aktiviti kesedaran buat penduduk yang tinggal berhampiran sungai untuk mengamalkan kitar semula dan membuang sampah dengan bertanggungjawab.

“Dengan usaha kolektif empat majlis perbandaran dan agensi negeri berserta kesedaran mengenai
alam sekitar, saya yakin kita akan mencapai 40 peratus pengurangan sampah,” kata Syaiful.

Projek SMG dikelola LLSB, inisiatif negeri untuk memulihara Sungai Klang bagi meningkatkan nilai dan kawasan tebingnya sebagai pemacu ekonomi Selangor.