Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 80,000 individu ditahan terlibat pelbagai kes judi

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Polis menahan 81,442 individu di seluruh negara yang disyaki terlibat dengan pelbagai kes perjudian bagi tempoh 2019 hingga 31 Oktober lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata dalam tempoh yang sama juga, polis turut merampas wang tunai lebih RM24 juta dalam serbuan bagi membanteras kegiatan perjudian tanpa lesen.

Beliau berkata polis juga turut menyerbu premis loteri awam tanpa lesen yang serbuan tertinggi melibatkan sebanyak 11,491 serbuan pada 2019, bagi 2020 sebanyak 8,324 serbuan dan 9,561 serbuan pada tahun ini.

“Dalam hal ini, polis turut memeriksa premis-premis perjudian yang dilesenkan oleh Kementerian Kewangan dan hasil pemantauan pihak kami mendapati operator judi berlesen mematuhi syarat-syarat lesen yang ditetapkan.

“Berdasarkan rekod terdapat 161 operator perjudian berlesen melibatkan sebuah kasino, 72 kelab syarikat dan 88 kelab persatuan,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan usahawan kosmetik yang melarikan diri ke Australia, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman bahawa beliau dicabul oleh anggota Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Abd Jalil berkata pihaknya sedang menyiasat perkara berkenaan.

“Kami sedang meneliti dakwaan yang dibuat Sajat dan juga laporan polis yang dibuat oleh penguat kuasa JAIS mengenai dakwaan berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Sajat didakwa dikasari dan dicabul penguat kuasa JAIS semasa beliau dipanggil untuk memberi keterangan pada Januari lepas.

Dalam pada itu, Abd Jalil berkata polis sedang menunggu pengesahan daripada kerajaan Thailand dan Australia berhubung keberadaan sebenar lokasi Sajat.

“Kedutaan Malaysia di Australia dan Thailand telah mengemukakan permohonan rasmi dan kita sedang menunggu jawapan daripada mereka,” katanya.

– BERNAMA