Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 97 peratus kes baharu Covid-19 babit kategori satu, dua

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Sebanyak 97.6 peratus atau 5,017 daripada keseluruhan 5,143 kes baharu COVID-19 dilapor hari ini adalah kategori satu dan dua, masing-masing tidak bergejala serta bergejala ringan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 126 kes atau 2.4 peratus pula dalam kategori tiga, empat dan lima iaitu mereka yang mempunyai radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen dan alat bantuan pernafasan.

Beliau berkata kumulatif kes Covid-19 dalam negara kini 2,551,452 selepas 5,143 kes baharu direkodkan.

“Sebanyak 526 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 250 lagi kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata 4,551 kes sembuh dicatatkan, menjadikan kumulatif kes yang pulih daripada jangkitan itu kini berjumlah 2,455,767, dan tiga kluster baharu dikenal pasti menjadikan kluster aktif kini berjumlah 250, manakala nilai kadar kebolehjangkitan atau R-Naught (Rt) negara pula kekal pada angka 1.05 seperti semalam.https://covidnow.moh.gov.my

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di  dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

-BERNAMA