Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 98 peratus kes baharu Covid-19 babit kategori satu, dua

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Sebanyak 98.1 peratus atau 5,301 kes daripada jumlah keseluruhan 5,403 kes baharu Covid-19 yang dilapor hari ini terdiri daripada kategori satu dan dua, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sebanyak 1.9 peratus atau 102 kes baharu Covid-19 pula dalam kategori tiga, empat dan lima.

“Sebanyak 545 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 270 kes memerlukan bantuan pernafasan. 25 daripada kes dilapor hari ini adalah kes import,” katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata kes sembuh Covid-19 yang dilapor hari ini adalah sebanyak 5,311 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini 2,425,054.

Beliau berkata lima kluster baharu dikenal pasti melibatkan empat kluster tempat kerja dan satu kluster pendidikan tinggi.

Negeri yang mencatat kluster baharu ialah Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kuala Lumpur dan Perak, katanya.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

-BERNAMA