SHAH ALAM, 28 NOV: Program Lepak Seni @ Kedai Kopi anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal dijadikan acara bulanan pada setiap hari Ahad minggu keempat.
Penyelaras program berkata program itu diadakan bermula jam 4.45 petang hingga 6.45 petang di kawasan Kedai Kopi 1, Taman Tasik Shah Alam.

Mohamad Shahrul Mohamad berkata acara itu bertujuan menyemarak aktiviti seni budaya dan menghiburkan pengunjung sekitar tasik berkenaan.
“Program ini juga bagi memberi peluang kepada pelajar sekolah untuk tampil membuat persembahan depan khalayak sekali gus memberi keyakinan kepada mereka.
“Insya-Allah setakat ini kita rancang untuk anjurkan aktiviti ini setiap bulan di samping hiburkan pengunjung Taman Tasik Shah Alam,” katanya.

Terdahulu, program diserikan dengan persembahan tarian tradisional daripada kumpulan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri (Padat) selain pemuzik jalanan oleh Trio Jaybonz dan kumpulan Angklung dari Sekolah Kebangsaan Taman Seri Muda.
Turut diadakan aktiviti mewarna bagi kanak-kanak berumur empat tahun sehingga 12 tahun, perpustakaan bergerak MBSA dan aktiviti kraf penanda buku.