Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Lima PBT Selangor raih anugerah bandar mampan 2021

SHAH ALAM, 10 NOV: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) semalam menjuarai program Penghargaan Bandar Mampan 2021 kategori majlis perbandaran anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menurut Facebook PLANMalaysia, Majlis Perbandaran Selayang memenangi tempat ketiga dalam kategori sama manakala Petaling Jaya di tempat ketiga bagi majlis bandaraya.

Sementara tempat kedua kategori majlis daerah diraih Hulu Selangor dengan masing-masing diberikan trofi, sijil penghargaan serta wang tunai antara RM3,000 hingga RM8,000.

Dalam acara itu, Majlis Bandaraya Subang Jaya meraih Penghargaan Khas Bandar Mampan 2021 susulan konsisten melakukan program Jaringan Penunjuk Mampan Bandar Luar Bandar (MURNInets).

Anugerah itu sekali gus melayakkan pihak berkuasa tempatan berkenaan menerima wang tunai berjumlah RM6,000, trofi dan sijil penghargaan.

MPKj bersama Perbadanan Putrajaya dan Majlis Daerah Pekan turut dipilih sebagai penerima penghargaan Pencapaian Terbaik Sustainable Development Goals (SDGs).

Majlis perhargaan yang berlangsung secara maya disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.