Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Limpahan air di Kuala Selangor, Tanjong Karang namun terkawal

SHAH ALAM, 7 NOV: Beberapa kawasan di sekitar Kuala Selangor dan Tanjong Karang dinaiki air susulan fenomena air pasang besar, kata pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Norazam Khamis berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor melakukan pemantauan bermula dari jam 6.45 pagi hingga 7.45 pagi, lapor portal Berita Harian.

“Antara kawasan yang dipantau adalah Pantai Remis, Pantai Jeram, Sungai Janggut dan Jambatan Kuala Selangor.

“Kami dapati berlaku peningkatan air pasang besar di beberapa kawasan tetapi tidak membahayakan penduduk berhampiran dan keadaan di lokasi terkawal,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata anggota BBP Tanjong Karang turut melakukan pemantauan di Pantai Bagan Pasir dan Pantai Sungai Kajang selepas air pasang dikesan pada jam 6.22 pagi tadi.

“Berlaku limpahan air di kawasan tersebut tetapi keadaan terkawal dan tiada pemindahan mangsa dilakukan,” katanya.

Jabatan Meteorologi meramalkan fenomena air pasang besar akan melanda Selangor selama empat hari mulai 4 November di Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Selain Selangor, fenomena itu turut dijangka melanda Kedah, Perak dan Johor dalam tempoh sama dan memburuk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.