Categories
AGENSI SELANGOR

Mais hargai 18 pelatih pusat perlindungan, bantu tingkat keyakinan diri

SHAH ALAM, 19 NOV: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memberi penghargaan kepada 18 pelatih Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di Sabak Bernam sebagai penyuntik semangat untuk terus mencapai kejayaan.

Setiausaha Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata inisiatif juga merupakan dorongan serta sokongan kepada pelatih untuk lebih berkeyakinan meskipun tinggal dalam pusat perlindungan.

“Masing-masing menerima anugerah berbeza yang dinilai dari segi sahsiah antaranya kejujuran, kebersihan, kehadiran, kepimpinan dan kerajinan selain berjaya dalam bidang kemahiran dan fardu ain.

“Penghargaan ini memberi peluang kepada mereka untuk membentuk sahsiah diri supaya menjadi insan lebih sempurna dan cemerlang,” katanya menerusi kenyataan.

Ahmad Shahir berkata pihaknya turut memberi penghargaan kepada 20 guru pembimbing yang menjadi tunjang utama kejayaan pelatih terbabit.

Anugerah disampaikan Pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada majlis Hari Kecemerlangan ke-13 pusat perlindungan itu semalam.

Ahmad Shahir berkata pihaknya akan terus menganjurkan pelbagai program bermanfaat kepada semua pelatih supaya mereka kembali ke pangkal jalan termasuk bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan dan pencegahan.