Categories
AGENSI SELANGOR

Maqis Selangor tahan kontena susu kambing dari New Zealand

SHAH ALAM, 13 NOV: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor menahan sebuah kontena membawa susu kambing dari New Zealand bernilai RM752,302.64 di Pelabuhan Klang Barat, Klang, dekat sini Khamis lepas.

Kontena yang membawa susu kambing seberat 15,057.4 kilogram ditahan susulan hasil pemeriksaan rutin dijalankan kira-kira 10.30 pagi mendapati tidak mempunyai permit import sah dikeluarkan oleh Maqis.

“Kesemua barang dagangan bernilai RM752,302.64 itu ditahan untuk tindakan lanjut,” menurut Maqis dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA