Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Belanjawan #Selangor 2022 kalis ancaman baharu

SHAH ALAM, 18 NOV: Penularan Covid-19 yang memberi kesan kepada semua sektor selama hampir dua tahun memberi nilai tambah kepada Kerajaan Selangor dalam merangka Belanjawan #Selangor 2022.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbelanjaan tahun hadapan yang dibentang pada 26 November ini dilengkapkan dengan elemen kalis terhadap ancaman baharu.

“Kita strukturkan (belanja) dan aktiviti ekonomi negeri yang kalis dengan sebarang ancaman. Tahun 2020 dan 2021 kita buktikan walaupun berdepan serangan Covid-19 yang beri kesan pada kesihatan dan ekonomi tetapi kita berjaya tangani.

“Yang penting kena konsisten dan bersungguh-sungguh. Akhirnya bila pemulihan berlaku kita boleh kembali kepada asal,” katanya dalam wawancara eksklusif semalam.

Belanjawan #Selangor2022 yang dijadual dibentang di Dewan Negeri Selangor pada Jumaat depan bakal menumpukan kepada usaha merancakkan semula ekonomi bagi membantu rakyat pasca wabak Covid-19.

Pembentangan dibuat Amirudin itu boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV (selangortv.my) dan menerusi media sosial https://www.facebook.com/MediaSelangor

Liputan berita majlis penting itu yang bermula jam 3 petang boleh diikuti melalui portal Selangorkini (selangorkini.my) dan tiga edisi lain termasuk Mandarin (selangorkini.my/zh-hans/) serta Tamil (selangorkini.my/ta/).