Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Dana RM1.7 bilion bangun projek tahun depan, naik taraf kemudahan

SHAH ALAM, 23 NOV: Selangor menerima dana berjumlah RM1.756 bilion daripada kerajaan persekutuan bagi membiayai kos projek sambungan dan baharu tahun depan.

Peruntukan bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) itu bagi menaik taraf jalan raya, jalan baharu di Serendah dan pembinaan pusat kardiologi Hospital Serdang, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan dana disalurkan itu juga bagi pembinaan Hospital Tanjung Karang.

Menurutnya, projek berimpak tinggi melibatkan infrastruktur harus diutamakan berikutan Selangor gedung ekonomi selain menyumbang 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kerajaan Negeri komited bagi pelaksanaan RMK-12 yang akan memberi manfaat kepada rakyat Selangor,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Terdahulu, Amirudin menghadiri sesi libat urus pasca RMK-12 bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapha Mohamed.