Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Fenomena air pasang besar diramal mencabar, elak aktiviti pesisir pantai

KLANG, 2 NOV: Fenomena air pasang besar yang dijangka melanda negeri ini mulai Khamis disifatkan agak mencabar berikutan fenomena tersebut datang serentak dengan musim tengkujuh.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keadaan itu meningkatkan risiko banjir lebih teruk.

“Ini (air pasang besar) adalah lumrah yang perlu dihadapi. Kita lihat agak mencabar kerana musim tengkujuh bertembung dengan air pasang besar dan kemungkinan menyebabkan banjir lebih besar.

“Pelbagai proses seperti (pemasangan) ban sedang diambil tindakan, tetapi kalau ditakdirkan ketika itu hujan, mungkin beberapa lokasi akan dilanda banjir terutama di Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sepang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau persiapan Deepavali di Little India Klang dekat Jalan Tengku Kelana di sini hari ini.

Susulan itu, Amirudin menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan fenomena berkenaan dengan mengelak sebarang aktiviti di pesisir pantai dan sungai.

“Untuk peringkat awal, elakkan aktiviti di tepi pantai dan kawasan berbahaya seperti sungai kerana dibimbangi akan mengundang masalah lebih serius,” katanya.

Jabatan Meteorologi meramalkan fenomena air pasang besar melanda negeri ini selama empat hari mulai 4 hingga 7 November di Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Selain Selangor, fenomena tersebut dijangka melanda Kedah, Perak dan Johor dalam tempoh sama dan memburuk jika disertai angin kencang, ombak besar serta hujan lebat secara serentak.