Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Fungsi terbaharu SELangkah mudahkan urusan orang ramai

SHAH ALAM, 24 NOV: Tempahan janji temu saringan Covid-19 serta pembelian kit kendiri menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) memudahkan warga negeri ini melakukan sebarang aktiviti, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penambahan fungsi bermula awal November turut membantu penduduk merancang perjalanan dengan selamat selepas kebenaran rentas negeri diberikan.

“Selangor mengorak setapak maju lagi dengan fungsi berkenaan. Kerajaan Negeri sentiasa peka dan cakna perkembangan semasa negara bagi memastikan usaha dilaksanakan dapat dilaraskan mengikut keperluan rakyat.

“Semoga kemas kini fungsi ini dapat memberi kebaikan kepada seluruh warga Selangor menjalani kehidupan seharian dengan lebih selamat dan mudah,” katanya di Facebook hari ini.

Orang ramai boleh menggunakan fungsi berkenaan selepas mengemaskini aplikasi SELangkah masing-masing.

Bagi pembelian kit kendiri pelanggan boleh memilih sama ada mengambil sendiri di lokasi tertentu atau dihantar ke rumah.

Terbaharu aplikasi dibangunkan Kerajaan Selangor itu memperkenal e-dompet bagi memudahkan pengguna melakukan transaksi tanpa tunai.

SELangkah diperkenalkan pada 4 Mei 2020 bagi menjejak jangkitan virus di premis perniagaan atau pejabat sekali gus memudahkan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan.