Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB nasihatkan waspada fenomena air pasang besar mulai 4 November

SHAH ALAM, 1 NOV: Penduduk dan pengunjung berhampiran pesisiran pantai dinasihatkan berwaspada susulan fenomena air pasang besar antara 4 hingga 9 November.

Orang ramai juga diingatkan supaya berhati-hati di kawasan permukaan air yang luas selain memantau keadaan cuaca, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Jabatan Meteorologi meramalkan fenomena air pasang besar akan melanda Selangor selama empat hari mulai 4 November di Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

“Penduduk dan pengunjung berdekatan pesisiran pantai dan kawasan permukaan air yang luas dinasihatkan berwaspada selain memantau keadaan cuaca,” katanya di Facebook hari ini.

Selain Selangor, fenomena air pasang besar dijangka melanda Kedah, Perak dan Johor dalam tempoh sama dan memburuk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali berkata insiden itu berisiko mengakibatkan banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai.

Foto Facebook Amirudin Shari