Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Program Vaksin Selangor bantu negeri pulih ikut sasaran

SHAH ALAM, 8 NOV: Program Vaksin Selangor (Selvax) membantu mempercepat proses pemulihan negeri ini dalam berdepan pandemik Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor adalah satu-satu negeri yang menyediakan sendiri program suntikan pelalian wabak dengan membelanjakan RM200 juta.

Menurutnya, usaha berkenaan membantu mempercepatkan proses pemulihan Selangor yang ketika ini berada di fasa empat Pelan Pemulihan Negara dan sebelum melangkah ke fasa endemik.

“Tahun ini di saat negeri-negeri lain menunggu penyelesaian vaksin, Kerajaan Negeri dengan peruntukan RM200 juta laksana program vaksin sendiri yang mampu mempercepatkan proses pemulihan,” katanya pada majlis majlis perhimpunan penjawat awam di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK di sini, hari ini.

Pada majlis itu turut ditayangkan program Amirudin dari penghujung tahun lalu hingga kini yang majoritinya memfokus kepada usaha memerangi Covid-19 dan mengurangkan kesan penularan wabak berkenaan.

Selvax dilancarkan pada hujung Jun dengan peruntukan RM200 juta membabitkan dua juta dos kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 penduduk yang belum divaksin terutama warga emas, golongan berpendapatan rendah dan penerima skim Inisiatif Peduli Rakyat.

Pada 7 Oktober, Amirudin mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Inisiatif berkenaan menjadi pelengkap kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk memberi perlindungan kepada seramai mungkin individu.