Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB sekali lagi ke Melaka bantu persiapan calon HARAPAN

AYER MOLEK, 14 NOV: Dato’ Menteri Besar hari ini meneruskan lawatan ke Melaka selama dua hari bagi membantu persiapan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN).

Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor memulakan lawatan turun padang hari ini bertemu calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek Mohd Rafee Ibrahim di Warung Reformasi.

Beliau kemudian dijadual makan bersama nelayan di Pengkalan Nelayan Sungai Kertah di DUN Tanjung Bidara sebelum menunaikan solat Zohor di Majis Al Jawahir, seterusnya menghadiri minum petang di DUN Lendu pada jam 3.30 petang.

Pada sebelah malam, Dato’ Menteri Besar dijangka makan malam di gerai capati tepian Pulau Gadong di DUN Kelebang pada jam 7.30 malam dan mengadakan lawatan santai pembeca dan pemuzik jalanan DUN Kota Laksamana di Windmill Dutch Square Melaka pada jam 9 malam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November.

Ia susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap ketua menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN memiliki seramai 495,195 pengundi berdaftar.