Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB serah watikah lantikan 17 pegawai pengarusperdanaan gender

SHAH ALAM, 10 NOV: Dato’ Menteri Besar menyampaikan watikah lantikan kepada 17 pegawai Kumpulan Tumpuan Gender (GFT) dan Kumpulan Titik Tumpuan Gender (GFP) Pengarusperdanaan Gender sesi 2021/2022 hari ini.

Pelaksanaan tahun kedua Pengarusperdanaan Gender pada kali ini melibatkan portfolio pendidikan di bawah Dato’ Seri Amirudin Shari, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han dan EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau.

Amirudin menyerahkan watikah lantikan itu di Foyer SUK di sini diiringi EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud dan Ketua pegawai eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) Siti Kamariah Ahmad Subki.

Turut hadir, EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail dan Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Selangor Juwairiya Zulkifli.

Selangor menjadi negeri pertama melaksanakan pengarusperdanaan gender untuk mempromosi hak dan menangani diskriminasi terhadap wanita.

Sejumlah RM1.8 juta diperuntukkan bagi menggiatkan lagi program pengarusperdanaan gender agar golongan wanita dapat memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan negeri ini.

Kerajaan Negeri menggariskan langkah jelas mencapai kesaksamaan gender menerusi pelaksanaan dasar inklusif, menyentuh keperluan dan memberi kesan positif kepada golongan tersebut.