Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB ucap takziah kepada keluarga juruterbang maut nahas pesawat pejuang

SHAH ALAM, 17 NOV: Dato’ Menteri Besar mengucapkan takziah kepada keluarga juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut dalam nahas pesawat Hawk 108 di Pangkalan Udara Butterwoth, Pulau Pinang malam tadi.

“Inalillahiwainnailahirajiun. Takziah diucapkan kepada keluarga Almarhum Kapten Mohamad Affendi Bustamy yang terkorban dalam nahas pesawat di kawasan Pangkalan Udara Butterwoth, Pulau Pinang,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter.

Beliau juga mendoakan semoga seorang lagi juruterbang Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera dalam insiden tersebut diberi kesembuhan.

TUDM menerusi kenyataan malam tadi berkata nahas terbabit berlaku kira-kira jam 10.07 malam ketika kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan malam.

Menurutnya, Mohamad Affendi meninggal dunia sementara Mohd Fareez yang cedera berada dalam keadaan stabil dan kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

“Kedua-dua juruterbang telah berkahwin dan keluarga telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut dan TUDM akan memastikan urusan kebajikan keluarga mangsa diutamakan,” katanya.