Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Vaksin Selangor langkah tepat, dulu ditohmah kini dipuji

SHAH ALAM, 12 NOV: Program Vaksin Selangor (Selvax) yang dilancar pada Jun membabitkan peruntukan RM200 juta bagi mengekang Covid-19 merupakan langkah tepat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata walaupun dicerca dan ditertawakan ketika mengumumkan pembelian vaksin sendiri namun Kerajaan Selangor terus istiqamah dan kini tindakan dipuji serta disanjung ramai.

“Kita memang sering diuji dengan tohmahan, dicerca dalam pelbagai perkara namun kita sabar, cekal, fokus kerja serta tugasan untuk pastikan apa kita lakukan adalah betul dan ikut landasan undang-undang, komitmen dan piagam penjawat awam negeri.

“Saat negeri lain masih tunggu penyelesaian vaksinasi kita datang dengan peruntukan sendiri RM200 juta. Program vaksinasi kita mampu cepatkan pemulihan sehingga kita masuk Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara,” katanya dalam audio dimuat naik di Facebook.

Audio itu merupakan petikan ucapan Amirudin pada  Majlis Perhimpunan Penjawat Awam di sini baru-baru ini.

Pada Selasa Amirudin berkata pelaksanaan Selvax membantu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menyuntik lebih ramai individu yang kini mencecah 75 peratus.

Lembah Klang dan Selangor merekodkan lebih 89 peratus penduduk disuntik dengan Selvax menyumbang lebih 370,000 dos vaksin kepada pekerja kilang serta masyarakat.

Selvax Komuniti dan Industri dilancarkan pada Jun bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini diikuti Selvax bergerak yang tamat 17 Oktober.

Pada 7 Oktober Amirudin mengumumkan Selvax diperluas kepada penerima remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan Malaysia.

Rakaman audio boleh diikuti menerusi pautan https://www.facebook.com/amirudinbinshari/videos/3094753684147103