Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB yakin capai kutipan hasil RM2.2 bilion meski ekonomi tidak menentu

SHAH ALAM, 8 NOV: Selangor boleh mencapai sasaran kutipan hasil RM2.2 bilion pada tahun ini di sebalik pelbagai cabaran termasuk tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sehingga semalam jumlah kutipan hasil sudah mencecah 95 peratus dan masih ada tempoh lagi sehingga penghujung tahun ini.

“Mengikut rekod mungkin paling kurang RM2.1 bilion namun kita ada peluang capai sasaran seperti tahun lalu yang mencatat lebihan iaitu RM2.23 bilion.

“Tahun ini PKP lebih panjang dan sekarang kita sudah dapat RM2 bilion, saya yakin kita boleh mencapai pendapatan disasarkan,” katanya ditemui selepas majlis perhimpunan penjawat awam di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Amirudin berkata hasil kutipan itu akan membolehkan Kerajaan Negeri membelanjakan dana untuk rakyat terutama membabitkan proses pemulihan susulan dampak Covid-19.

Berhubung bantuan kewangan khas kepada penjawat awam, Amirudin berkata beliau akan mengumumkan perkara itu pada pembentangan Belanjawan 2022 pada 26 November depan.

Jelasnya, jumlah bantuan itu turut bergantung kepada kutipan hasil.