Categories
AGENDA NASIONAL

MB zahir takziah pemergian Tan Sri J.J Raj, negara hilang tokoh perwira

SHAH ALAM, 7 NOV: Dato’ Menteri Besar menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Pengarah Pengurusan Bukit Aman Tan Sri J.J Raj yang meninggal dunia semalam.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyifatkan negara kehilangan seorang tokoh perwira perkhidmatan polis dengan pemergian mendiang.

“Mendiang telah banyak menabur jasa mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.

“Takziah diucapkan kepada keluarga mendiang,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Mendiang yang terkenal menyelamatkan warga Balai Polis Bukit Kepong, Johor satu masa dahulu, meninggal dunia semalam di Pusat Perubatan Ara Damansara, Petaling Jaya.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata mendiang meninggal dunia pada usia 100 tahun pada 1.55 pagi akibat Cardiac Arrhythmia, semasa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Mendiang J.J. Raj dilahirkan pada 27 Julai 1921 di Chemor, Perak dan mendapat pendidikan awal di Sekolah St. Michael’s Institution Ipoh, sebelum berkahwin dengan Puan Sri Irene Raj pada tahun 1952, dan dikurniakan dengan empat anak serta tiga cucu.

Beliau mula menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Inspektor Pelatih pada tahun 1946 dan menjadi Ketua Polis Daerah Pagoh pada tahun 1950 semasa tragedi serangan Balai Polis di Bukit Kepong, sewaktu darurat di Tanah Melayu pada 23 Feb 1950.

Sepanjang perkhidmatan beliau dalam PDRM, beberapa jawatan penting pernah disandang beliau iaitu Ketua Polis Daerah Tangkak (1952), Ketua Polis Daerah Kuala Lumpur (1958) (sebelum KL menjadi Wilayah Persekutuan), Ketua Polis Pahang (1961), Ketua Polis Negeri Sembilan (1967) dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman pada tahun 1974 serta bersara pada tahun 1976.

Beliau mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang dalam pasukan PDRM dan berkhidmat dengan jayanya selama 30 tahun.