Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MBI belanja RM20,000 bantu artis veteran, bekas atlet

SHAH ALAM, 13 NOV: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI membelanjakan RM20,000 setakat ini bagi membantu artis veteran atau bekas atlet yang berdepan masalah termasuk kesihatan.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya turut menghubungkan mereka dengan agensi tertentu seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Majlis Agama Islam Selangor bagi tindakan susulan.

“Sekarang kita terima berita berkenaan penyanyi Shima. Kita akan dapatkan maklumat lanjut untuk hulur bantuan diperlukan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 2019 pelantun lagu Teringin dan Setelah Aku Kau Miliki itu dikategorikan sebagai golongan asnaf oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Berikutan itu kerajaan menawarkan Shima atau Ku Nazhatul Shima Ku Kamaruzzaman, 52, kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 menerusi Inisiatif Perumahan Komuniti Seni Harapan.

Sebelum ini MBI menghulurkan sumbangan kepada Ali XPDC, Gmie Screen, pemain bola sepak Selangor Azhar Sharif; pemain gitar kumpulan Search Kid dan pelawak Hamid Gurkha.