Categories
PBT SELANGOR

MBSA minta penjaja permit sementara mohon lesen tetap

SHAH ALAM, 9 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meminta penjaja yang memperoleh permit sementara membuat permohonan baru bagi mendapatkan lesen perniagaan secara tetap.

Datuk Bandar Shah Alam berkata ia bagi memudahkan urusan penempatan mereka berikutan permit sementara itu hanya boleh digunakan sehingga Disember ini sahaja.

“Kita tahu sebelum ini ada yang meniaga kerana tidak dapat bekerja namun trend itu semakin berkurang sebab kebanyakannya sudah dapat kembali bekerja.

“Oleh itu, MBSA akan cuba tempatkan penjaja yang membuat permohonan bagi meneruskan perniagaan di tempat yang kita sediakan,” kata Dato’ Zamani Ahmad Mansor selepas melancarkan MBSA Tanpa Tunai di Dewan Auditorium di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai status penjaja sementara di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu yang akan tamat pada Disember ini.

Pada 14 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan seramai 7,000 peniaga kecil di bawah pentadbiran MBSA menerima lesen sementara tahun ini.

Inisiatif itu bermula Ogos tahun lalu di mana semua PBT di Selangor memberi permit sementara kepada peniaga tidak berlesen khususnya golongan berpendatan rendah (B40) yang terjejas akibat Covid-19.

PBT perlu memastikan tapak niaga bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.