Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Medidata Sdn Bhd kongsi mesin jana kuasa mudah alih mesra alam

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Medidata Sdn Bhd mengambil inisiatif berkongsi penggunaan mesin jana kuasa mudah alih menggunakan teknologi hijau kepada pengguna di Ekspo Selangor Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan Inovasi (SRIE) 2021.

Pakar produk Annis Nur Syahirah Suria berkata mesin jana kuasa, Ecoflow yang dibawa dari China itu hanya perlu dicaj menggunakan tiga kaedah iaitu solar, soket dinding dan kereta.

“Keistimewaan mesin jana kuasa ini ialah pengguna tidak menggunakan minyak seperti peralatan lain dan sekali gus menjaga kelestarian alam sekitar.

“Mesin jana kuasa ini mempunyai tiga jenis iaitu 288watt (wh), 576wh dan 1,260wh diperkenal pada tahun ini dan mudah digunakan sama ada untuk kegunaan harian atau aktiviti luar,”katanya kepada SelangorKini.

SRIE 2021 merupakan salah satu acara sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menurut Annis Nur Syahirah, daripada aspek perubatan pula syarikat tersebut juga menghasilkan produk balutan ortopedik sintetik iaitu peralatan untuk rawatan retak tanpa menggunakan simen.

“Inovasi baharu ini memudahkan rawatan retak iaitu hanya perlu merendamnya di dalam air sebelum dibalut pada anggota badan dan kebiasaannya digunakan di hospital swasta.

“Selain itu, kita juga menghasilkan produk pelitup muka yang mengikut spesifikasi American Society for Testing and Materials (ASTM),”katanya.

Khamis lalu, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli merasmikan SIBS 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

DYTM Tuanku mewakili Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj merasmikan sidang kemuncak yang berlangsung sehingga 21 November secara hibrid dan fizikal.