Categories
BUDAYA RENCANA

Meneliti kebenaran

Oleh Petak Daud

SAYA jarang-jarang menulis. Atau menaip. Dan dalam rungkai maksud yang lebih luas, saya sudah lama tidak duduk di depan kertas memegang pensil ataupun di depan komputer riba sambil memikirkan dalam-dalam, tentang isi kandungan yang akan saya tuliskan.

Kali terakhir saya menulis, benar-benar menulis, ketika berada di lewat semester empat. Pada waktu itu saya menumpang di sebuah rumah kawan, kebuntuan, kerana tidak tahu untuk tinggal di mana. Kampus pengajian saya tidak menyediakan asrama bagi para pelajar, kecuali pelajar semester satu. Walaupun masih banyak bilik, malah bangunan kosong yang terbiar tidak diguna, tetapi masih juga dikekalkan sebegitu, walaupun telah berkali-kali rayuan dilakukan saya.

Saya terpaksa keluar dari bilik sewa yang dibayar setiap bulan sebanyak seratus ringgit. Saya tidak mampu membayar duit sewa bilik selama dua bulan berturut-turut, menyebabkan Kak Ema terpaksa bercakap sambil menunduk-nundukkan muka dan mengulang-ulang soal anak-anaknya yang masih kecil dan bersekolah.

Ketika saya ingin menulis pada kali yang terakhir itu, saya tidak dapat berfikir dengan tenang tentang apa yang harus saya ucapkan kepada ibu. Tangan saya sedikit menggeletar kerana kelaparan. Perkara terakhir yang saya jualkan untuk membeli makanan adalah telefon bimbit. Ia berlaku pada Disember yang lepas. Malah pada waktu itu, sebenarnya, saya sudahpun menggantung pengajian selama beberapa semester kerana kos pengajian yang sangat tinggi.

Yuran, buku rujukan, dan peralatan pengajian adalah sangat mahal (walaupun katanya yuran telah dikurangkan), malah makanan dan minuman juga telah naik harga sebanyak beberapa peratus. Untuk meneruskan pengajian dengan sumber yang tidak ada apa-apa adalah sebuah perjalanan yang membazirkan. Saya terpaksa mengakuinya juga, bahawasanya kita tinggal dalam dunia yang serba memperdagangkan. Termasuklah pendidikan.

Saya memegang pensil dan mengambil waktu yang sangat lama untuk memulakan sebuah perkataan. Remukan di atas kertas lebih banyak jumlahnya berbanding tulisan. Saya menggeletar tidak putus-putus. Kerana, ya, kelaparan, dan ketakutan.

Takut untuk menerangkan. Kerana apakah yang sepatutnya ditulis saya? Apakah yang harus diberitahu saya kepada ibu? Apakah cerita dan kisah yang akan direka-reka saya untuk mengaburi rasanya? Apakah kesakitan yang akan saya tanamkan selepas apa yang ibu ada di dunia ini hanyalah saya? Bagaimana ingin saya terangkan kepada ibu tentang bayangan kejayaan yang bakal saya raikan kelak, telahpun tamat, tanpa ada kesudahannya?

Mengenangkan betapa ibu seorang diri di rumah, yang mengisi perutnya dengan wang kebajikan dari kerajaan negeri, saya tidak sampai hati. Saya tidak mampu membayangkan kegembiraan ibu akan hancur dan lebur ketika membaca kebenaran yang akan saya tuliskan. Saya tidak mampu memikirkan betapa ibu akan terduduk ke tanah, memikirkan bahawa anaknya tidak mampu meraih kejayaan, mahupun dengan nasi sepinggan.

Jadi, pada kali terakhir saya menulis itu, benar-benar menulis, apa yang saya mampu tuliskan adalah sebuah kepalsuan. Sebuah cerita yang manis dan bergula-gula. Tentang kehibaan keseronokan, tentang kesebakan keindahan. Tentang peluang yang datang, dan rumah baharu yang tidak akan bergoyang. Saya tidak mampu menyenaraikan kebenaran, bahawa anak ibu tidak mampu membuat ibu terharu. Kerana saya takut memikirkan, bagaimana ibu akan sesak kebuntuan.

Saya jarang-jarang menulis. Atau menaip. Dan dalam rungkai maksud yang lebih luas, saya sudah lama tidak duduk di depan kertas memegang pensil ataupun di depan komputer riba sambil memikirkan dalam-dalam, tentang isi kandungan yang akan saya tuliskan.

Oleh itu, saya sedikit terkejut apabila selepas berapa lama juga saya tidak membuka komputer riba, ada sebuah dokumen di bahagian ‘desktop’ yang diletakkan namanya sebagai – Kebenaran. Saya merenung dokumen Kebenaran itu tanpa berbuat apa-apa, sambil jenuh memikirkan, bila tarikhnya ia dicipta, dan apakah sebabnya ia ditulis saya. Kerana saya tidak ada apa-apa langsung ingatan tentang menulisnya.

Saya menekan butang kiri di tetikus komputer riba, dua kali, pada dokumen tersebut. Ia mengambil masa beberapa saat untuk muncul sepenuhnya memandangkan komputer riba yang digunakan saya sudah terlalu lama usianya. Dan apabila dokumen tersebut muncul sepenuhnya – terpapar luas di skrin komputer riba – apa yang kelihatan hanyalah; tiada.

Tidak ada apa-apa perkataan. Sebuah lampiran kosong berwarna putih yang normal sekiranya kita membuka Microsoft Word. Saya tercengang di depan komputer riba, memikirkan kelucuan yang baru berkesudahan; tentang bagaimana kita akan terlalu takut dan memikirkan soal-soal yang tidak pernah berlaku.

Lalu kerana kekosongan yang tidak membawa erti dan maksud apa-apa itu, saya memegang tetikus, menekan butang kiri lama-lama pada dokumen bernama Kebenaran, dan menariknya masuk ke arah Recycle Bin.

Saya mengeluh kelegaan. Mungkin selepas ini, selepas membuang perkara-perkara yang tidak perlu itu, komputer riba saya akan berfungsi dengan lebih laju dan pantas. Dan tidak lagi berat kesakitan, menanggung sebuah kandungan yang tidak langsung memberikan pengertian.