Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Menghibur rentas warna kulit, karya 10 seniman pukau penonton

SHAH ALAM, 16 NOV: Hiburan tidak pernah mengenal batas warna kulit. Di Malaysia, ramai pelakon, pelawak dan penyanyi daripada kaum lain berjaya memukau menerusi karya dalam bahasa Melayu.

Malah, kehadiran mereka diiktiraf penonton, mendapat anugerah sehingga ada dianggap sebagai legenda seni tanah air. Antaranya pelakon drama Janet Khoo dan pelawak Param.

Wartawan AFIX REDZUAN menyenaraikan 10 seniman bukan Melayu pilihan yang terkenal sempena Hari Toleransi Antarabangsa pada 16 November.

1. Alleycats

Ditubuhkan pada 1968, anggota kumpulan ini terdiri daripada Datuk David Arumugam bersama adiknya Datuk Loganathan sebagai vokalis.

Anggota lainnya ialah seorang lagi adik mereka iaitu Shanmugam selaku pemain gitar utama bersama Khoo Eng An atau Johnson Khoo (gitar rhythm), Silly Hock (bass) dan Albert Choo (drum), manakala pengurus mereka ialah Ronnie Chiang Kai Chok.

Antara lagu popular mereka adalah Jika Kau Bercinta Lagi, Andainya Aku Pergi Dulu, Gerimis Senja dan Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi. Alleycats mencipta sejarah melangkah ke Anugerah Juara lagu (AJL) pertama pada 1986 dan dinobatkan sebagai penghibur terbaik selain meraih tempat ketiga.

2. Francissca Peter


Lagu Sekadar Di Pinggiran nyanyian beliau adalah juara AJL pertama pada 1986. Dalam anugerah sama, Francissca Peters turut mendapat tempat kedua menerusi lagu Aku Kehilanganmu.

Kejayaan itu mengukuh nama Francissca atau Luciana Francissca Peter sebagai artis solo wanita di arena pentas.

Lagu lain yang malar segar di hati pendengar adalah Aku Hanya Pendatang, Kerna Terpaksa, Kehebatan Cinta dan Diri Ku Terbelenggu. Francissca turut menempa sejarah muncul juara Asean Song Festival pada 1987 selain dipilih sebagai Penyanyi Wanita Paling Popular Anugerah Bintang Popular pada tahun sama.

3. Acappan

Samynathan Rethinam sinonim dengan nama Acappan adalah pelawak popular pada era 1970-an dan 1980-an. Tampil dengan karakter lucu dan menghiburkan, beliau sering bergandingan dengan pelawak lain dalam rancangan hiburan.

Fasih berbahasa Melayu, anak jati kelahiran Parit Buntar, Perak ini antara tonggak utama dalam sitkom popular pada 1990, Santan Berlada. Beliau turut membintangi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu dengan memegang watak Singam selain berlakon drama Ceplos, Nafas dan Gerak Khas.

Sepanjang kariernya, Acappan membintangi lebih 18 filem sejak 1990 antaranya Ghazal Untuk Rabiah, O.K (Orang Kampung Otak Kimia), Lagi-Lagi Senario, Gila Bola dan Bisikan Cinta.

Dalam kesibukan berkarya, beliau bergiat aktif dengan Persatuan Seniman Malaysia dan sering bersama-sama membantu rakan artis yang susah. Menghembuskan nafas terakhir pada usia 63 tahun pada 14 September 2018 di rumahnya di Puchong akibat kegagalan buah pinggang.

4. Angeline Tan

Beliau terkenal dengan nama Lucy iaitu karakter gadis berbangsa Cina yang dimainkan dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang popular pada tahun 1990-an.

Angeline atau Tan Yoke Yeah membintangi sitkom berkenaan sejak 1993 hingga 2004. Dalam siri televisyen berkenaan keletah beliau yang tidak fasih berbahasa Melayu bersama Ravi, lakonan Sathia sering menggeletek hati.

Di pentas drama pula beliau diberikan beberapa peranan antaranya Gerak Khas, Gerak Khas Undercover, Salam Pantai Timur dan Keluarga Pontimau. Lakonan Angeline terkenal dalam kalangan Melayu sehingga beliau pernah dicalon dalam kategori Artis Komedi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular.

5. Sathia

Dialog ‘sudah tukar ka?’ sukar dipisahkan dengan pelawak terkenal Sathia atau nama sebenar Sathivel Periasamy. Anak seni kelahiran Selangor itu sering diingati dengan gaya santai tidak kira ketika melawak, berlakon mahupun mengacara.

Sathia memulakan karier seninya dalam program komedi berbahasa Tamil sekitar 1985 selain diundang menjadi pelawak dalam rancangan Hiburan Minggu ini pada awal 1990-an.

Bakat Sathia mendapat kepercayaan pengarah terkenal, Kabir Bathia untuk berlakon dalam filem Setem pada 2009. Selain Setem, Sathia turut menghiasi layar Budak Lapok, Senario Asam Garam, Yes Tuan, KL Menjerit, Soal Hati dan Libas.

Keringat bapa dua anak ini mendapat pengiktirafan apabila menang trofi Pelakon Lelaki Komedi TV Terbaik Anugerah Seri Angkasa pada 2006 menerusi drama Kopikau selain tercalon dalam Anugerah Bintang Popular.

6. Jaclyn Victor

Bakatnya terserlah selepas menjuarai pertandingan nyanyian Malaysian Idol pada 2004. Memiliki vokal yang hebat, Jaclyn muncul dengan album pertama berjudul ‘Gemilang’ sekali gus menempa nama dalam industri muzik.

Lagu Gemilang gubahan Aubrey Suwito membawa tuah buat Jaclyn apabila mengungguli Festival Muzik Asia Shanghai pada 2005 dan AJL ke-20 pada 2006. Beliau pernah menjalin kerjasama dan merakam lagu berjudul Ceritera Cinta bersama penyanyi Indonesia, Rio Febrian. Lagu yang sama juga memberinya kejayaan di pentas AJL ke-22 menerusi vokal terbaik bersama duetnya,
Lah Ahmad.

Antara lagu lain yang dekat di hati pendengar adalah Cepat-Cepat, Satu Harapan, Di Bawah Pohon Asmara dan Wajah. Sebanyak sembilan trofi Anugerah Industri Muzik, masing-masing dua Anugerah Bintang Popular dan Anugerah Planet Muzik dimenangi Jaclyn sepanjang kariernya.

7. Shanjey Kumar Perumal

Namanya asing dalam peminat filem tempatan namun sentuhannya berjaya mengangkat filem Jagat hingga memenangi beberapa anugerah besar.

Menerusi filem berkenaan Shanjey Kumar memenangi kategori pengarah baharu terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28 pada 2016. Jagat turut dipilih sebagai filem terbaik.

Perkataan Jagat dambil daripada perkataan ‘Jahat’ mengikut loghat bahasa Tamil. Filem berkenaan mengisahkan nasib masyarakat India di Malaysia yang terpaksa berpindah dan menempuh liku hidup sukar di bandar selepas ditinggalkan pemilik tanah. Karya Shanjey Kumar ini juga mewakili Malaysia di Festival Filem Asia 2017. Kejayaan tersebut mengubati kesukaran yang dilalui beliau ketika menghasilkan filem ini kerana kurang mendapat kepercayaan pelbagai pihak.

8. Chiu Keng Guan

Ola Bola arahan Chiu Keng Guan berjaya menambat hati rakyat Malaysia, khususnya Melayu. Filem sukan arahannya tuntas memaparkan semangat pemain bola sepak kebangsaan yang mengharumkan nama negara apabila layak ke Sukan Olimpik Moscow, Rusia pada 1980.

Dibintangi JC Chee sebagai Tauke, Bront Palarae (Rahman), Luqman Hafidz (Ali) dan Haris Zainuddin (Sanjeet Singh), filem itu disenarai antara calon terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28 pada 2016.

Filem berkenaan ditayangkan pada 28 Januari 2016 berjaya mencatatkan kutipan lebih RM16.6 juta. Hasil kerja Ken Guan lain yang terkenal dalam kalangan peminat filem ialah The Journey yang mendapat kutipan sebanyak RM17.6 juta di pawagam.

9. Dr Soo Wincci

Penyanyi, pelakon dan model kelahiran Selangor ini pernah dinobatkan sebagai Miss World Malaysia 2008 dan mewakili negara dalam Miss World 2008 di Johannesburg, Afrika Selatan.

Selepas menyertai pertandingan ratu cantik, Dr Soo Wincci memulakan kerjaya sebagi pelakon dalam sitkom Cina tempatan bertajuk Mr. Siao Mandarin Class.

Penyertaannya dalam pertandingan Master Chef Malaysia pada 2012 membuka peluang beliau mendekati penonton kalangan masyarakat Melayu. Malah dua tahun kemudian beliau menyertai Master Chef All Stars dan menduduki tempat keempat.

10. Elizabeth Tan

Elizabeth yang mesra dengan panggilan Lizzy mula mempamer bakat nyanyian di Youtube dengan menyanyikan semula beberapa lagu artis tempatan dan antarabangsa sebelum aktif dalam industri muzik pada 2013.

Anak jati Kuala Lumpur ini pernah menjadi finalis AJL sebanyak dua kali menerusi lagu Knock Knock dan Setia. Selain itu, antara lagu yang pernah dirakam beliau adalah Maafkan Aku, Tabah, Semua Sudah, Police Entry, Are You Leaving Now dan duet bersama Aziz Harun (Mama) serta Hazama (Beku).

Beliau meraih beberapa anugerah antaranya Artis Baru Terbaik (Wanita) di Anugerah Planet Muzik (APM) ke-14, Top Personality YouTube Malaysia di Anugerah Influence Asia dan Jualan Lagu Nada Dering Pemanggil Tertinggi di Anugerah Industri Muzik ke-22.