Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Minati industri aeroangkasa dorong dua rakan kunjungi Pameran Udara Selangor

SUBANG, 28 NOV: Minat mendalam terhadap industri aeroangkasa mendorong dua rakan sekelas mengunjungi Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark di sini semalam.

Nurin Izzati Suhameri dan Clarissa Clarence Foo Sui Yien mengunjungi pameran itu kerana mahu menambah ilmu serta pengetahuan dalam bidang yang majoriti diceburi kaum lelaki.

Apatah lagi, dua gadis berusia 19 tahun merupakan penuntut tahun pertama dalam jurusan Kejuruteraan Aeroangkasa di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan memerlukan platform seumpama itu sebelum melangkah ke dunia pekerjaan sebenar.

Nurin Izzati Suhameri, 19. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sejujurnya SAS 2021 memberi pengalaman baharu kerana sebelumnya saya hanya tahu syarikat berteras aeroangkasa seperti AirAsia, FireFlyz, Malindo Air dan Malaysia Airlines serta Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) tetapi sebenarnya ada juga syarikat berkaitan ketenteraan.

“Insya-Allah, apa diperoleh hari ini (semalam) akan diaplikasi dalam kelas misalnya forum kerjaya yang menekankan aspek kerja berkumpulan. Lagipun, perkara ini turut diajar dalam mata pelajaran seminar kejuruteraan,” kata Nurin Izzati.

Beliau berkata sejak kecil dia memasang impian menjadi juruterbang, namun lama-kelamaan minat itu berubah ke arah pembinaan dan penyelenggaraan pesawat sebelum memilih melanjutkan pengajian dalam jurusan tersebut.

Clarissa Clarence Foo Sui Yien, 19. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Clarissa berkata dia menggemari industri aeroangkasa dan SAS 2021 membolehkannya mengetahui serba sedikit berkenaan sektor berkenaan sekali gus menyuntik semangat untuk meneruskan pengajian selama empat tahun dalam jurusan terbabit.

“Memandangkan saya masih baharu mengenali bidang ini, saya akan kaji lebih mendalam supaya menemui hala tuju lebih jelas. Barangkali dengan mendapatkan maklumat daripada pempamer di sini di samping pembelajaran dalam kelas,” katanya.

Umar Mansor, 20, pula teruja apabila berpeluang bertemu secara dekat pemain industri penerbangan yang berkongsi maklumat dan prospek kerjaya dalam bidang itu.

Umar Mansor, 20. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Penuntut tahun akhir Diploma Penyelenggaraan Pesawat dari Politeknik Banting berkata peluang keemasan itu tidak disia-siakan memandangkan sukar diperoleh di tempat lain termasuk bilik kuliah.

“Apa yang didedahkan dalam kelas tidak sama kerana kami hanya belajar komponen sesebuah pesawat manakala pensyarah berkongsi sedikit pengalaman mereka.

“Selepas menyertai setiap gerai pameran SAS, banyak benda baharu saya dapat dan mula nampak masa depan dalam bidang ini,” katanya.