Categories
PBT SELANGOR

MPKj antara 12 PBT paling mampan tahun ini

PUTRAJAYA, 9 NOV: Sebanyak 69 daripada 102 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dinilai menerusi sistem Jaringan Penunjuk Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia (MURNInets) pada tahun ini berada di tahap mampan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

“Baki 33 lagi PBT yang dinilai menerusi sistem itu pula mencapai tahap sederhana mampan,” katanya ketika berucap pada majlis penghargaan Bandar Mampan 2021 dan Anugerah Kejiranan Hijau 2021 secara maya hari ini.

Sistem MURNInets diwujudkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) sejak 1998 bagi mengukur tahap kemampanan bandar dan pelaksanaannya selaras dengan Sustainable Development Goals (SDGs) dan agenda Perbandaran Baharu (New Urban Agenda).

Pengukuran Bandar Mampan di Malaysia dilaksanakan berasaskan kepada kerangka MURNInets yang mengandungi lima strategi, enam dimensi, 20 tema dan 39 penunjuk yang dibentuk berdasarkan dasar pembangunan utama negara berkaitan ekonomi, sosial dan fizikal.

“Pengukuran kemampanan bandar ini akan memperkukuhkan usaha PBT dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat seterusnya berusaha meningkatkan tahap kemampanan bandar dan tahap daya huni di kawasan masing-masing,” kata Reezal Merican.

Reezal Merican berkata aspek bandar mampan dan kejiranan hijau merupakan komponen penting dalam menjayakan aspirasi Malaysia Berdaya Huni (eng:Liveable Malaysia) selaras matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Beliau berkata aspirasi itu akan dijadikan landasan asas untuk menggembleng usaha individu, komuniti, PBT dan pihak berkuasa negeri agar sama-sama menuju kerangka Keluarga Malaysia yang lebih makmur dan terangkum.

“Kita semua adalah Keluarga Malaysia, tidak kira sama ada di bandar mahupun di luar bandar yang mengimpikan kehidupan yang selesa, dikelilingi kejiranan yang mampan, hijau dan selamat.

“Bandar mampan sejahtera dan berdaya huni yang disokong dengan kejiranan hijau merupakan aspirasi dalam pembangunan negara seiring semangat Keluarga Malaysia yang menekankan kualiti kesejahteraan rakyat dan kemampanan bandar,” katanya.

Pada majlis hari ini 12 PBT terpilih sebagai kawasan PBT paling mampan berdasarkan tiga kategori iaitu Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah, dan antara penerima penghargaan bandar mampan adalah Perbadanan Putrajaya, Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Daerah Labis.

– BERNAMA