Categories
AGENSI SELANGOR

MSN Selangor: Penangguhan Sukma jejaskan prestasi atlet

SHAH ALAM, 8 NOV: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor mengakui penundaan Sukan Malaysia (Sukma) sejak 2020 menyebabkan prestasi atlet menurun.

Pengarah eksekutifnya berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat Covid-19 menjadi faktor atlet tidak berlatih secara menyeluruh.

“Kita tidak berlatih secara menyeluruh hampir dua tahun di mana usia atlet pada waktu itu bawah 21 tahun dengan usia kian meningkat ada antara mereka yang menyambung pengajian dan ada yang bekerja.

“Jadi mereka ini sudah berbelah bahagi kerana masing-masing mempunyai komitmen lain,” kata Mohd Nizam Marjugi ketika dihubungi SelangorKini.

Katanya, bagi mengatasi masalah itu pihaknya akan menggantikan atlet yang tidak dapat memberi komitmen pada latihan serta mengalami penurunan prestasi dengan atlet pelapis.

“Beberapa kejohanan telah dan akan dibuat oleh beberapa persatuan sukan jadi kita hantar atlet untuk menilai mereka bagi menghadapi Sukma,” katanya.

Beliau juga menjelaskan walaupun Sukma di Johor ditangguhkan ke 2024, Sukma 2022 tetap akan diteruskan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bertindak sebagai penganjur.

Pada 29 Oktober, Jawatankuasa tertinggi Sukma bersetuju agar penganjuran temasya sukan terbesar negara itu di Johor pada tahun hadapan, ditangguhkan ke 2024.

Perkembangan itu disahkan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tersebut, yang meneliti status laporan terkini penganjuran Sukma dan Para Sukma Johor 2020.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal berkata jawatankuasa sama turut bersetuju supaya Majlis Sukan Negara (MSN) menganjurkan Sukma dan Para Sukma 2022 di Kuala Lumpur.