Categories
AGENDA NASIONAL

Orang ramai digalak lapor keputusan ujian kendiri walaupun negatif

SHAH ALAM, 13 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta orang ramai melaporkan keputusan ujian Covid-19 secara kendiri dalam aplikasi MySejahtera walaupun hasil saringan negatif.

Ketua pengarah kesihatan berkata hampir lima juta kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) yang dijual tetapi yang didaftarkan dalam MySejahtera masih rendah.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya percaya kes negatif adalah lebih tinggi daripada kes positif yang tidak dilaporkan di negara ini.

“Kita sedang mencuba melihat kaedah terbaik untuk meningkatkan kesedaran untuk memasukkan data ujian. Kita percaya kes negatif lagi banyak berbanding positif tidak dilaporkan.

“Mudah saja untuk melaporkan. Saya sendiri sudah laporkan dan mengambil hanya dua tiga langkah untuk menjawab soalan dan kita boleh dapatkan data-data tersebut,” katanya pada sidang media semalam.

Dr Noor Hisham berkata tujuan beliau mengesyorkan langkah itu bagi mengumpul data untuk mengetahui tanda aras yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kalau kita lihat kadar positif satu masa dulu tanda aras adalah lima peratus yang dicatatkan WHO. Kita hampir mencecah tiga peratus sekarang.

“Kes yang positif sekarang ini adalah tiga hingga empat peratus. Ini menunjukkan tanda aras kita sudah berjaya untuk mengesan kes yang positif,” katanya.