Categories
AGENDA NASIONAL

Padah ingkar SOP, 48 pengunjung pusat hiburan dikompaun RM240,000

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Sebanyak 48 pengunjung di dua premis hiburan di ibu kota dikenakan kompaun sebanyak RM240,000 kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Pelan Pemulihan Negara Fasa Empat pada tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur Datuk Azman Ayob berkata dalam serbuan itu kedua-dua pemilik premis hiburan berkenaan turut dikenakan kompaun sebanyak RM25,000 setiap seorang.

Beliau berkata 30 pengunjung dikompaun di pusat hiburan pertama dan 18 pengunjung dikompaun di pusat hiburan kedua.

“Kompaun itu dikeluarkan mengikut Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 (melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam).

“Saringan air kencing turut dilakukan terhadap 23 pengunjung premis hiburan pertama bagaimanapun keputusan semuanya negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

-BERNAMA