Categories
AGENDA NASIONAL

Pameran Udara Selangor babit 43 pempamer tempatan, antarabangsa

SUBANG, 23 NOV: Sebanyak 43 pempamer tempatan dan antarabangsa terlibat dalam Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 yang berlangsung selama tiga hari bermula Khamis ini.

Ketua pegawai eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) berkata program dianjurkan pihaknya buat kali pertama di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark  di sini akan menampilkan 15 pesawat meliputi jet persendirian, helikopter dan pesawat ringan.

“Sebenarnya sasaran hanya untuk syarikat tempatan, namun kita turut menerima permintaan daripada syarikat antarabangsa yang berpangkalan di luar negara untuk menyertai pameran ini.

“Justeru, kami buat persiapan untuk menerima ketibaan pesawat yang dijangka tiba bermula malam ini dan esok,” kata Dato’ Hasan Azhari Idris ketika ditemui di pusat penerbangan tersebut hari ini.

Beliau berkata pihaknya tidak meletakkan sasaran tinggi iaitu sekitar 5,000 pelawat pada pameran sulung itu berikutan pintu sempadan negara masih belum dibuka sepenuhnya.

“Program ini dibuka berperingkat dengan dua hari pertama untuk pemain industri manakala hari terakhir bagi kunjungan orang awam terutama pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

“Kemasukan ke ruang pameran mengikut slot ditetapkan iaitu 500 pengunjung setiap jam bagi memudahkan kawalan sekali gus mengelak berlaku pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.

SAS 2021 dihoskan Kerajaan Selangor melalui Invest Selangor dengan mengangkat tema ‘Selangor, the ASEAN Business and General Aviation Hub’.

Program itu mendapat sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO).