Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Pelbagai bangsa rai Deepavali bawa kebaikan dalam bermasyarakat

RAWANG, 4 NOV: Kehadiran Dato’ Menteri Besar hari ini ke Majlis Rumah Terbuka Deepavali Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa membuktikan keharmonian kaum di negara ini.

Dr G Gunaraj berkata kepelbagaian dimiliki menyatukan semua dan menyaksikan perayaan itu diraikan bersama serta membawa kebaikan.

“Kita seharusnya bersyukur kerana berpeluang menyambut Deepavali selepas lebih 18 bulan duduk di rumah sahaja (akibat Covid-19).

“Bagaimanapun, pastikan semua mengikut tatacara operasi piawai (SOP) seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Seri Amirudin Shari atas kesudian menghadiri majlis rumah terbuka Deepavalinya di Bandar Country Homes di sini.

Amirudin ditemani isteri Datin Seri Masdiana Muhammad tiba kira-kira jam 11 pagi ke kediaman Gunaraj dan meluangkan masa hampir satu jam beramah mesra bersama tetamu serta menikmati juadah seperti nasi beriyani dan tosai.

Turut hadir Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli, ADN Rawang Chua Wei Kiat dan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen.