Categories
AGENDA NASIONAL

Pemandu lori, subkontraktor insiden kanvas ‘terbang’ hadir ke IPD Sepang

SHAH ALAM, 5 NOV: Pemandu lori dan subkontraktor yang terbabit dalam insiden kanvas ‘terbang’ hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pagi ini.

Timbalan ketua polis Daerah Sepang berkata mereka hadir bagi membantu siasatan berhubung insiden di Kilometer 33.5 Jalan Puchong berhampiran susur menghala Kajang, dekat Sepang, kelmarin.

Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad berkata pemandu lori berkenaan memberi kerjasama ketika hadir membuat laporan dan kes masih dalam siasatan.

“Polis masih mengesan kedua mangsa terbabit bagi membantu siasatan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Katanya, penunggang dan pembonceng motosikal yang terbabit dalam insiden berkenaan masih belum membuat laporan dan dipercayai warga asing.

Semalam, KDEB Waste Management (KDEBWM) berkata akan mengenakan tindakan tegas terhadap syarikat subkontraktor terbabit insiden kanvas ‘terbang’ yang menyebabkan kemalangan di Lebuhraya Damansara-Puchong, Rabu lalu.

Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir berkata tindakan termasuk menamatkan kontrak syarikat terbabit akan diambil sekiranya pihak berkenaan gagal mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

Jelasnya, KDEBWM menitik berat berkaitan isu pematuhan operasi dan menghargai komitmen orang ramai mengenai perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di Selangor.