Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Penantian 40 tahun berakhir, peneroka lega isu pajakan tanah selesai

SHAH ALAM, 30 NOV: Penantian empat dekad hampir 400 peneroka Ladang Tennamaram Kampung Tanjung Pasir, Bestari Jaya, Kuala Selangor terlerai apabila kemelut pajakan tanah berjaya diselesaikan.

Wakil peneroka V Jaya Kumar, 50, berkata kata sepakat dicapai selepas melalui beberapa siri perbincangan bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) selain komitmen Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan isu itu.

“Mewakili peneroka lain, saya amat lega dan bersyukur kerana Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari cakna serta memandang serius isu ini.

“Kita berharap dengan adanya penglibatan daripada PKPS, nasib peneroka dapat dibela dan diberikan perhatian sewajarnya,” katanya pada sidang media di foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar, Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.

Jaya Kumar berkata beberapa perkara asas dipersetujui secara bersama dengan pengurusan PKPS manakala butiran lanjut akan diteliti secara berperingkat bersama peneroka lain.

Terdahulu, Kerajaan Negeri bersetuju membatalkan pajakan tanah seluas 96.4 ekar (39.01 hektar) yang diberikan kepada dua syarikat di Tanjung Pasir Ladang Tennamaram Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata syarikat Baisan Suria Sdn Bhd dan Trilion Project Sdn Bhd akan diberi gantian pajakan di kawasan lain bagi tujuan pertanian serta penternakan.

Beliau menjelaskan PKPS akan memajak tanah itu selama 21 tahun dan perlu membuat pemutihan terhadap hampir 400 peneroka yang memohon.

Untuk rekod, kawasan itu dibuka sekumpulan penduduk untuk aktiviti pertanian sejak 1967.

Isu berkaitan pertikaian pajakan tanah dibangkitkan pada awal April lalu apabila peneroka Ladang Tennamaram mengadakan protes berhubung pajakan kepada dua syarikat swasta bagi menjalankan kerja di ladang tersebut.

Pada 3 Mei, sebuah jawatankuasa siasatan dalaman ditubuhkan bagi menjalankan siasatan lanjut terhadap isu berkenaan terdiri daripada lima anggota termasuk unit integriti dan bahagian audit dalaman pejabat SUK.