Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pendidik digalak ikuti pameran secara maya Meraki’21

SHAH ALAM, 22 NOV: Warga pendidik digalak mengikuti Pameran Seni Visual Antarabangsa Meraki’21 yang diadakan secara maya.

Pengarah Galeri Shah Alam berkata pameran bermula 15 November sehingga 26 Disember itu mengumpulkan 83 karya dari enam negara Asean boleh dinikmati menerusi https://beacons.ai/meraki21

Alina Abdullah berkata enam negara terbabit ialah Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan Brunei.

“Perupa yang terlibat merupakan warga pendidik. Jadi kita menggalakkan golongan tersebut di negara ini untuk bersama-sama mengikuti pameran secara maya ini.

“Secara tidak langsung boleh bertukar budaya dan ilmu pendidikan. Malah ia juga sesuai untuk semua lapisan masyarakat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Alina berkata istimewa Meraki’21 ini juga kerana menampilkan empat pengkarya tanah air yang dijemput khas iaitu Raja Shahriman, Suzlee Ibrahim, Rosli Zakaria dan Zaim Durulaman.

“Anda semua dijemput untuk melayari laman sesawang rasmi Meraki’21 untuk menikmati semua hasil karya seni dengan mendapatkan e-katalog, e-galeri dan info program bersempena pameran diadakan,” katanya.