Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Pengunjung lebihi sasaran, belasan ribu meriahkan SIBS 2021

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Kehadiran pengunjung ke Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 melebihi sasaran apabila lebih 15,000 individu hadir sejak Khamis lalu.

Jumlah itu melebihi 50 peratus sasaran Invest Selangor Berhad selaku penganjur yang menyasarkan 10,000 pengunjung sepanjang acara berlangsung, kata EXCO pelaburan.

“Kita juga akan melihat kenaikan nilai transaksi dengan rekod tertinggi RM200 juta pada 2019. Kita berharap ada perkembangan memberangsangkan,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau ditemui selepas menyaksikan penyerahan sijil penghargaan Malaysia Book of Records (MBOR) kepada Invest Selangor Berhad di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Sidang yang dirasmikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berlangsung secara hibrid mulai 18 November dan berakhir hari ini.

Sebanyak RM11 juta diperuntuk meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.

Acara lain termasuk Persidangan Perniagaan Asean Selangor, Konvensyen Digital Ekonomi dan Bandar Pintar Selangor serta Ekspo Selangor Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi 2021.