Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pertandingan kereta kawalan jauh aras bumbung SACC Mall himpun 80 peserta

SHAH ALAM, 17 NOV: Pertandingan kereta kawalan jauh di SACC Mall RC Park berjaya menghimpunkan 80 peserta dari dalam dan luar Selangor, maklum ketua pegawai eksekutif PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC).

Fakru Radzi Ab Ghani berkata jumlah penyertaan Cabaran Tamiya RC 2021 disifatkan memberangsangkan meskipun trek kereta kawalan jauh di aras bumbung pusat beli belah itu baru seminggu beroperasi.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC Fakru Radzi Ab Ghani

“Ini adalah satu permulaan baik kerana ramai peserta datang bukan sahaja dari Selangor tetapi ada juga Pulau Pinang, Johor dan Melaka memeriahkan program yang berlangsung selama sehari.

“Jika diikutkan pertandingan seumpama ini boleh menarik kira-kira 250 peserta, namun dengan situasi pandemik Covid-19 jumlah ini dianggap memuaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum persefahaman (MoU) pembangunan ‘SACC Walk Retail Container’ bersama Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad di SACC Mall semalam.

Fakru Radzi turut memaklumkan pelancaran filem “Marabahaya” bersama sebuah stesen penyiaran tempatan antara program yang akan dijalankan di trek berkenaan dalam masa terdekat.

Sementara program lain termasuk cabaran tahun baharu Tamiya Endurance yang dijadual berlangsung pada 31 Disember hingga 2 Januari tahun depan, jelasnya.

Dibuka secara rasmi 7 November lalu, trek aras bumbung ketiga Asia Tenggara merupakan inisiatif Kerajaan Negeri mempromosikan aktiviti sukan dan rekreasi terbuka selain mengikuti perkembangan semasa.

Pembukaan itu juga bakal menghidupkan industri peruncitan pusat beli belah berkenaan dan PKNS Shah Alam yang terletak bersebelahan.