Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peruntuk RM1.25 juta bantu anak kehilangan ibu bapa akibat Covid-19

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan sumbangan kewangan berjumlah RM1.25 juta kepada anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata sumbangan RM500 bagi setiap penerima itu dijangka memberi manfaat kepada 2,500 anak yatim di seluruh Selangor.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, anak-anak yang kehilangan ibu atau bapa merupakan antara golongan paling terkesan akibat pandemik.

“Saya telah menziarahi beberapa keluarga di mana kedua-dua ibu dan bapa menjadi mangsa Covid-19 dan anak-anak mereka dalam situasi ketidaktentuan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Kerajaan Negeri juga akan membantu menyelaras dengan agensi seperti Jabatan Kebajikan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor serta unit-unit lain bagi tujuan pengurusan harta pusaka, penjagaan anak-anak, serta bantuan kesihatan emosi.