Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peruntukan RM65 juta untuk tingkat taraf kesihatan pasca Covid-19

SHAH ALAM, 26 NOV: Peruntukan bagi sektor kesihatan awam meningkat kepada RM65 juta pada 2022 berbanding RM56.5 juta pada tahun lalu, kata Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, peningkatan sebanyak RM8.5 juta itu selaras dengan agenda Kerajaan Negeri yang mengutamakan kesihatan rakyat.

“Pengurusan kesihatan awam menyeluruh, berpatutan dan efektif berasaskan teknologi pendigitalan menjadi tunjang kepada kesejahteraan rakyat dan kelangsungan ekonomi Selangor.

“Kerajaan Negeri percaya tahap kesihatan yang baik akan menyumbang kepada peningkatan taraf hidup, produktiviti individu dan ekonomi setempat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata jumlah peruntukan kesihatan dinaikkan sebagai persediaan mengharungi sebarang kemungkinan wujudnya gelombang pandemik Covid-19.

“Menyedari hakikat bahawa pandemik Covid-19 telah memberi kesan yang mendalam kepada Selangor, agenda pengurusan kesihatan awam sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri.

“Justeru, pada 2022 Kerajaan Negeri akan meneruskan inisiatif yang telah dilaksanakan pada tahun ini bagi memastikan aspek penjagaan nyawa dan kelangsungan hidup ini menjadi teras pembangunan negeri,” katanya.