Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peruntukan wakil rakyat pembangkang naik hampir tiga kali ganda

SHAH ALAM, 26 NOV: Peruntukan Ahli Dewan Negeri (ADN) pembangkang naik hampir tiga kali ganda tahun depan sehingga RM400,000 berbanding RM150,000 ketika ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Jumlah itu menjadikan dana mereka sebanyak RM800,000, tambahan RM400,000 diterima daripada Putrajaya melalui Unit Penyelarasan Persekutuan, jelas Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Keputusan ini selari konsep Iltizam Selangor Penyayang di mana rakyat keutamaan tidak mengira pandangan politik dan sesuai peranan Selangor sebagai negeri contoh di Malaysia,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata dana wakil rakyat bebas yang menyokong negeri pula naik sehingga RM500,000 yang akan diselaras oleh penyelaras lantikan kerajaan.

Beliau turut memaklumkan dana tambahan RM50,000 kepada ahli parlimen pembangkang bagi pengurusan pejabat selain peruntukan daripada kerajaan persekutuan.

“Perubahan dasar ini diharap dimanfaatkan sepenuhnya bagi kebaikan rakyat serta memastikan setiap sen dibelanjakan dengan berhemah dan penuh integriti,” katanya.