Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pesta Buku Selangor tawar lebih 200,000 karya tempatan, antarabangsa

SHAH ALAM, 12 NOV: Lebih 200,000 buku dari dalam dan luar negara ditawarkan pada Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini mulai 2 hingga 12 Disember depan.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor berkata pesta 11 hari itu turut diadakan secara hibrid bagi memberi peluang kepada mereka tidak dapat hadir untuk membeli buku kegemaran.

Menurut Datin Paduka Mastura Muhamad, kehadiran orang ramai dialu-alukan ke pesta bermula jam 10 pagi hingga hingga 9 malam manakala bagi Sabtu dan Ahad dilanjutkan hingga jam 10 malam.

“Bertema ‘Menghubungkan Hati dan Minda’ bermakna meskipun kita sedang diuji dengan pandemik Covid-19 tetapi setiap kesukaran pasti ada kemudahan dan susulan itu kita turut melaksana pesta buku secara hibrid.

“Kita harap dengan penganjurannya masyarakat dapat menyokong semua peniaga supaya mereka dapat balik dengan ‘kotak kosong’ (buku semua habis dijual),” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Mastura berkata pesta buku kali ini turut dijalankan dengan kerjasama Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) bagi memberi peluang orang awam untuk membeli buku secara dalam talian.

Selain itu, katanya kerjasama turut dimeterai dengan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, platform membeli-belah Shopee dan Maybank sebagai rakan strategik transaksi pembayaran.

Mengulas berhubung tatacara operasi piawai (SOP), Mastura berkata sekitar 1,000 ke 1,500 orang sahaja dibenar berada dalam dewan pada satu-satu masa dan mereka akan diberi sistem nombor.

“Manakala, bagi individu menunggu giliran untuk masuk tidak perlu bimbang kerana kita juga menyediakan kerusi dan ruang yang selesa dalam pekarangan dewan SACC termasuk terdapat kafeteria untuk menjamu selera,” katanya.

Tambah Mastura, Pesta Buku Selangor 2021 akan dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 4 Disember jam 3 petang dan turut melancarkan beberapa naskah buku.